Bernama.com
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia

Faktor Abdullah-Abdullah Naikkan Nama M'sia Dan Rakyatnya Di Arab Saudi
Ekonomi
12 Mei, 2007 17:39 PM
RIYADH, 12 Mei (Bernama) -- Hubungan dua hala yang semakin erat antara Arab Saudi dan Malaysia terutamanya di peringkat pemimpin kedua-dua negara telah menyaksikan peningkatan aktiviti pelancongan serta penglibatan syarikat dan tenaga kerja dari Malaysia ke dalam ekonomi negara yang kaya dengan minyak itu.

Duta Malaysia ke Arab Saudi Datuk Dr Ismail Ibrahim berkata hubungan Malaysia dan Arab Saudi kini tidak hanya berdasarkan persaudaraan sesama negara Islam.

"Sejak lawatan Raja Abdullah (ke Malaysia awal tahun lepas) nampaknya hubungan kita semakin erat semakin rapat dan hubungan peribadi antara Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dengan Raja Abdullah menjadi begitu mesra.

"Jadi kerana perhubungan baik antara dua pemimpin, kemajuan yang kita dapati antara hubungan dua negara adalah amat tinggi," katanya dalam satu temubual di kediamannya di sini baru-baru ini.

Banyak syarikat Malaysia sudah mula bertapak di Arab Saudi dan terlibat dalam bidang pembinaan melalui bidaan tender terbuka dan melalui kerjasama dengan syarikat tempatan terutama dalam projek-projek di Riyadh, Jeddah dan Mekah, katanya.

Antara projek gergasi yang disertai syarikat Malaysia ialah pembinaan sistem pembentungan di Jeddah, sebuah universiti di Riyadh dan Projek Jabal Umar untuk memperluaskan Tanah Suci Mekah, Masjidil Haram dan projek pembangunan perumahan.

Antara syarikat yang telah melebarkan sayap ke Arab Saudi ialah Malaysian Mining Corporation Bhd (MMC) yang terlibat dalam pembinaan Jizan Economic City di Jeddah, sebuah projek pembangunan bersepadu yang mengandungi zon industri dan bukan industri serta infrastruktur lain dalam satu tempat, katanya.

WWE Holdings Bhd pula mendapat kontrak membina rangkaian sistem pembentungan sepanjang 1,234 km di Jeddah dan Ahmad Zaki Resources Bhd mendapat kontrak membina Universiti Al-Faisal di Riyadh, katanya.

Dr Ismail berkata syarikat pembinaan gergasi Saudi Bin Ladin yang selalu mendapat kontrak pembinaan di Saudi bernilai berbilion ringgit kini mempelawa syarikat Malaysia menjadi subkontraktor bagi melaksanakan projek mereka.

Ditanya mengenai faktor yang menyebabkan syarikat Malaysia diberi kepercayaan untuk melaksanakan projek di negara itu, Dr Ismail berkata selain daripada keakraban hubungan di antara pemimpin atasan, pihak Arab Saudi mula mengenali Malaysia dengan lebih dekat bukan sahaja dari segi sudut pelancongan tetapi juga dari aspek pembangunan tenaga kerja, teknologi maklumat dan kejuruteraan.

"Malaysia dilihat sebagai sebuah negara Islam yang maju serta terkemuka dan dengan hubungan dua hala yang semakin akrab, Arab Saudi melihat Malaysia sebagai rakan teknologi mereka," katanya.

MDEC (Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia) umpamanya banyak membantu dari sudut pembangunan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) seperti e-madinah, iaitu pembangunan kerajaan elektronik di Madinah, katanya.

Dr Ismail berkata tenaga kerja dari Malaysia juga kini mendapat tempat untuk bekerja dengan syarikat tempatan.

Antara syarikat yang telah mengambil rakyat Malaysia bekerja di sini ialah syarikat telekomunikasi, syarikat minyak milik kerajaan Arab Saudi, Saudi Aramco dan syarikat penerbangan tambang murah, Sama dan Nas Air serta hospital-hospital swasta dan kerajaan.

Beliau berkata seramai 2,000 pegawai dagang dari Malaysia bekerja di Arab Saudi seperti di Jeddah, Riyadh, Mekah, Tabuk dan Damam.

Katanya Saudi Aramco mengambil khidmat bekas kakitangan Petronas kerana mereka mempunyai kepercayaan kepada syarikat minyak nasional itu yang mempunyai pelaburan dan kontrak carigali di banyak tempat.

Dr Ismail berkata jururawat dari Malaysia juga setaraf jururawat dari Eropah dan mereka mendapat bayaran yang lumayan berbanding jururawat negara lain dengan gaji minimum antara 10,000 ke 15,000 Saudi Riyal sebulan.

Pekerja profesional dari Malaysia yang bekerja dalam bidang telekomunikasi dan Saudi Aramco mungkin mendapat gaji antara RM20,000 ke RM30,000 sebulan, katanya.

Dr Ismail berkata ramai tenaga kerja Malaysia tidak mengetahui bahawa pasaran pekerjaan di Arab Saudi sememangnya lumayan.

"Memang kita merasa rugi sebab umpamanya dalam minyak and gas mereka meninggalkan Petronas tetapi daripada segi kita mengeksport kepakaran dan sumber manusia, saya rasa dari sudut itu ada positifnya sebab mereka menaruh kepercayaan kepada kita dan kalau ada kepercayaan kepada individu akhirnya mereka akan mencari syarikat-syarikat Malaysia untuk datang melibatkan diri dalam pelaburan," katanya.

Mengenai pelancongan, ketibaan pelancong-pelancong dari Arab Saudi ke Malaysia pada tahun lepas meningkat 26.1 peratus kepada 67,679 daripada 53,682 pada tahun 2005.

Beliau berkata kebanyakan mereka keluar melancong pada musim panas yang bermula dari Julai hingga Ogos untuk bercuti panjang kerana kepanasan yang begitu terik sehingga melebihi 40 darjah celcius pada masa itu.

Mereka membawa keluarga mereka bercuti ke Malaysia kerana mereka sukakan air dan hujan, tanah-tanah tinggi yang dingin dan nyaman seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands selain daripada harga penginapan hotel dan kos kehidupan yang berpatutan serta harga barangan yang murah dan berkualiti di Malaysia, kata beliau.

Dr Ismail berkata: "Saya rasa pelancongan bertambah kerana nama baik itu dan mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam, mereka bebas berpakaian mengikut Islam dan mereka boleh mendapatkan visa selepas mendarat ini memudahkan kerana mereka perlu membawa pasport sahaja."

-- BERNAMA

Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA. Disclaimer