Bernama.com
Rencana 22 Februari, 2006 11:09 AM
 
Bario: Bumi Masyarakat Kelabit Yang Peramah



PENDUDUK BARIO…Maren Ratu,94, ketika ditemui wartawan Bernama baru-baru ini. Bario, yang bermaksud "angin" dalam bahasa Kelabit adalah sebuah dataran tinggi terletak kira-kira 1,150 meter di atas paras laut di kawasan timur-laut Sarawak.

Oleh Harlina Samson

BARIO, 22 Feb (Bernama) -- Bario, yang bermaksud "angin" dalam bahasa Kelabit adalah sebuah dataran tinggi terletak kira-kira 1,150 meter di atas paras laut di kawasan timur-laut Sarawak.

Dikelilingi hutan tebal pada gunung-ganang, sebahagiannya mencapai 2,400 meter di atas paras laut termasuk Gunung Murud iaitu gunung tertinggi di Sarawak, udara di sekitar Bario sentiasa sejuk.

Suhunya sekitar 16 dan 25 darjah selsius. Ada kalanya, suhu turun hingga 11 darjah selsius dan harus menggunakan pakaian tebal terutama pada waktu senja, untuk keselesaan.

Bario ialah kira-kira 50 minit penerbangan dari Miri atau 40 minit dari Marudi.

Penerbangan Malaysia melalui Perkhidmatan Udara Luar Bandar melakukan penerbangan sembilan kali seminggu ke Bario dari Miri dan Marudi, menggunakan pesawat Twin Otter yang mempunyai 19 tempat duduk.

Satu lagi cara untuk sampai ke tempat ini ialah dengan berjalan kaki melalui denai yang dipenuhi lintah dan nyamuk, dari Marudi, pekan paling hampir dengan Bario atau Ba'Kelalan, yang jaraknya kira-kira 60 km.

PENEMPATAN KELABIT

Bario merupakan penempatan bagi masyarakat Kelabit yang kuat bekerja dan sumber bagi sejenis beras wangi, yang popular dengan sebutan "beras Bario." Selain itu, ia juga terkenal dengan nenasnya yang manis dan enak.

Berada seketika di rumah panjang Pa' Bangar, milik seorang mualaf, Mustapha Raja, cukup bagi seseorang untuk mengenali sepintas lalu kehidupan seharian masyarakat Kelabit.

Anak perempuan Mustapha, Zaharah, 29, atau nama timangan, Bulan, dan abangnya, Abdul Halim atau Ben, sibuk dengan kerja harian.

Mereka menerima tempahan dan membekal makanan kepada satu kem tentera dan sekolah dekat rumah mereka, mengambil bekalan dari tempat pendaratan dan memetik buah nenas untuk dihantar ke Miri dan penempatan-penempatan yang berdekatan.

"Ini kerja rutin kami. Hampir sepanjang waktu saya di sini membantu ayah kerana dia sering ke mana-mana seperti Marudi, Ba' Kelalan, Miri dan kawasan sekitar sini," kata ibu kepada dua anak perempuan ini, yang suaminya bekerja di Miri sebagai penyelam.

Abdul Halim, 30, berkata sekalipun Bario amat terpencil dan tidak begitu membangun, masyarakat Kelabit tetap bergembira dan bersyukur dengan keindahan alam semulajadi di lembah itu dan tidak mahu ia diganggu.

BUMI SERBA SUKAR

"Ia mungkin bumi yang serba sukar kerana ketiadaan jalan yang baik ... jalan yang tidak berturap dan hanya sesuai bagi kenderaan ringan untuk ke sekolah, kedai, tempat pendaratan pesawat kecil selain kawasan yang agak jauh sedikit seperti Pa'Umor dan Pa'Ukat," katanya.

Bagaimanapun, kawasan ini mempunyai kemudahan asas -- dua buah sekolah, sebuah klinik, pejabat imigresen dan sebuah balai polis dengan anggota yang agak kecil, 12 unit kedai, pasar basah dan gerai makanan.

Terdapat tiga telefon berbayar yang boleh digunakan untuk membuat panggilan kecemasan -- satu di tempat pendaratan pesawat kecil dan dua lagi di sebuah kedai dan sekolah menengah di situ.

Satu lagi ialah telefon awam yang hanya digunakan untuk menerima panggilan.

Abdul Halim berkata lantaran tiada pengangkutan awam di Bario, lori atau van kecil yang terbuka (pick-up truck) digunakan untuk mengangkut barangan manakala penduduk tempatan bergantung kepada motosikal untuk bergerak.

Kebanyakan rumah panjang dan dua buah sekolah menggunakan generator mudah alih minyak diesel atau petrol, untuk bekalan elektrik sementara yang lain menggunakan alat solar untuk mendapatkan tenaga.

KEMESRAAN MASYARAKAT KELABIT

Bagi mereka yang baru ke Bario, mereka akan terus merasai kemesraan masyarakat Kelabit sebaik saja menjejak kaki di bumi itu. Senyuman menawan dan sapaan mesra daripada orang kampung di situ membuat seseorang pelancong bagaikan berada di tempat sendiri.

Jika berjalan di sekitar kampung seperti Ulung Palang, Pa' Ramapuh, Arur Layun, Arur Dalan dan Pa'Umor, mereka akan ditegur mesra oleh penduduk kampung.

Malah sekiranya penduduk itu menunggang motosikal, mereka akan mengangkat tangan atau menganggukkan kepala sebagai ucapan selamat datang atau tanda hormat.

Masyarakat Kelabit menyanjung tinggi sikap peramah dan mesra dan menyifatkannya sebagai biadap jika penduduk tempatan tidak menghormati tamu dengan cara itu, kata Zaharah.

Ketua Masyarakat Bario, Pemanca Ngimat Ayu, 84, berkata terdapat lebih 6,000 Kelabit di Sarawak dan kira-kira 1,500 tinggal di Bario. Yang lain, merantau untuk kehidupan yang lebih baik di kota minyak Miri.

Ngimat berkata kebanyakan yang tinggal di Bario adalah generasi tua, yang mudah dikenali dengan tatu tradisional kaum Kelabit dan bertelinga panjang dengan subang logam atau gading burung kenyalang.

Salah seorang daripada mereka ialah Maran Ratu, 94, yang masih gagah dan sering berjalan kaki ke pekan Bario dari rumah panjangnya Ulung Palang.

JALAN BERJAM-JAM

"Saya masih mampu jalan berjam-jam," kata Maran Ratu, sambil tersenyum lebar sambil menampakkan subang logam berat yang bergantung pada cuping telinga yang panjang itu.

Ngimat berkata masyarakat muda lelaki dan wanita Kelabit, sudah meninggalkan tradisi tatu atau melubangkan cuping telinga. Mereka hanya dikenali sebagai seorang Kelabit bila bercakap bahasa ibunda mereka.

Kelabit, salah satu daripada 26 etnik di Sarawak, yang tinggal di rumah individu atau rumah panjang di 17 kampung, kebanyakannya bertanam padi, nenas, labu, kacang atau buah-buahan tropika. Mereka juga pemburu dan penangkap ikan yang handal.

Kebanyakannya menganut agama Kristian, dengan sebahagian besar berpegang pada kehidupan cara tradisi di rumah-rumah panjang yang diwarisi daripada orang tua. Hanya terdapat tiga keluarga Islam di Bario, termasuk Zaharah.

Dengan keindahan alam semulajadi dan masyarakatnya yang peramah, Bario merupakan satu tempat yang "harus dilawati" untuk pelancong luar yang datang ke Sarawak.

Dalam sebulan, sekitar 20 hingga 30 pelawat mengunjungi Bario dan jumlah ini bertambah hingga beratus-ratus orang waktu musim kemuncak.

E-BARIO

Biarpun Bario sebuah kawasan terpencil, namun ia tidak terpinggir dan terputus dengan dunia luar. Sejak lima tahun lalu, ia merupakan tapak program siber "e-Bario." Program ini adalah projek rintis Internet Luar Bandar untuk menghubungkan kawasan luar bandar Sarawak dengan dunia luar.

E-Bario merupakan projek kerjasama antara Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Majlis Kajian Pembangunan Antarabangsa Kerajaan Kanada (IDRC) dan Mimos Berhad.

Ditempatkan di telepusat Gatuman-Bario, usaha itu merupakan kejayaan besar walaupun sering diganggu masalah bekalan tenaga kerana bekalan diesel yang tidak menentu.

Harga minyak yang melambung tinggi tahun lalu memberi kesan buruk kepada penduduk Bario apabila petrol, diesel dan minyak tanah dijual dengan harga RM32 satu gelen atau RM8 se liter. Keadaan itu bertambah parah apabila bekalan minyak sering terputus.

Sara hidup di Bario juga terlalu tinggi kerana keperluan harian terpaksa diangkut menggunakan udara menyebabkan harga barangan menjadi berlipat kali ganda.

Beras dijual dengan harga RM4.50 se kg, sementara harga se tong gas 14kg ialah RM120 ke RM180 (termasuk tong). Sebab itulah memasak secara tradisional menggunakan kayu api masih menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

SYURGA EKO-PELANCONGAN

Bario sudah pasti menawarkan pengalaman kehidupan yang berbeza bagi masyarakat luar dan pelancong.

Pemilik De Plateau Lodge, Douglas Munney Bala berkata Bario semakin terkenal sebagai destinasi pelancongan.

Katanya, pelancongan menjadi sumber pendapatan lumayan bagi penduduk tempatan yang menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong ke tempat-tempat menarik seperti tempat garam semulajadi Pa' Umor, Pulung Tau, Batu Law dan Gunung Murud.

Para pelancong boleh mencuba aktiviti seperti meredah hutan, memancing dan berburu, berjalan-jalan, lawatan ke rumah panjang dan perjalanan dengan bot panjang.

"Bagi mereka yang berasal dari bandar, aktiviti seperti itu sesuai untuk mereka yang mencari suasana yang tenang dan damai," katanya.

Ada beberapa rumah kediaman yang mengamalkan konsep "homestay" atau pengunjung tinggal dengan tuan rumah, dengan berlatarbelakangkan rumah panjang Kelabit, seperti Bariew Backpacker Lodge, Labang Homestay, De Plateau Lodge dan beberapa lagi.

Jelaslah, Bario menawarkan elemen-elemen eko-pelancongan yang harus menjadi pilihan untuk para pelancong dan mereka yang gemarkan aktiviti lasak.

-- BERNAMA
Copyright © 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels